NAMA : MARYIANI BINTI AHMAD/NO MATRIK: 241984 SDE1013 ASAS KEUSAHAWANAN
Elegant Rose

Wednesday, 30 November 2016

1.0 PENGENALAN

Penanaman Padi di Kedah
Ladang Teh di Cameron Highland,Pahang
Tanaman sayur bendi

Industri pertanian kini semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak dan semakin mendapat tempat dikalangan pengemarnya. Ia tidak lagi menjadi sumber sekunder kepada pembangunan ekonomi negara kita. Sektor pertanian semakin berkembang maju dan pelbagai program telah dijalankan oleh pihak kerajaan bagi memastikan industri pertanian akan berkembang dengan pesat.  Sektor pertanian di negara kita sedang mengalami transformasi ke arah yang lebih dinamik dan kompetitif.  Sektor ini amat penting kerana ianya dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara malahan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. (Ramlee et. al., 2011).

Pertanian merupakan satu proses pengeluaran makanan dan barangan melalui perladangan, perternakan dan perhutanan.  Ia juga merupakan sektor utama di dalam perkembangan dan kebangkitan sesebuah tamadun.  Pertanian sebenarnya merangkumi pelbagai bidang dan teknik seperti cara meluaskan tanah untuk digunakan bagi bercucuk tanam, membina terusan serta saluran pengairan bagi mengalirkan air ke kawasan tanaman. Pada zaman sekarang, pertanian boleh dikategorikan sebagai pertanian mapan seperti pertanian organik serta pertanian intensif iaitu pertanian perindustrian.

Perniagaan adalah satu bentuk organisasi yang sah serta diiktiraf oleh kerajaan bagi menyediakan barangan atau perkhidmatan kepada pelanggan, perniagaan lain atau agensi kerajaan dan swasta.  Perniagaan sebenarnya adalah ekonomi kapitalis yang paling utama dan kebanyakkan perniagaan di Malaysia adalah milik persendirian. Perniagaan biasanya dibentuk bagi mendapat keuntungan dimana ianya akan menambah kekayaan kepada pemilik perniagaan serta mampu mengembangkan perniagaannya sekiranya mereka mengurus dengan cara yang betul dan bijak.  Biasanya, perniagaan yang dijalankan tanpa mengira keuntungan semata-mata adalah perniagaan milik kerajaan.

Perniagaan yang berasaskan pertanian pula ialah perniagaan yang hanya melibatkan pertanian semata-mata.  Ini terjadi apabila seorang petani yang menjalankan aktiviti pertanian mempunyai hasil yang lebih bagi menyara keluarganya, maka mereka menjual hasil pertanian kepada pemborong atau menjual terus kepada pembeli. Proses penjualan hasil pertanian berkenaan disebut sebagai proses jual beli ataupun perniagaan walaupun ianya dijalankan secara kecil-kecilan. Oleh kerana adanya aktiviti ini maka wujudlah satu perniagaan yang dinamakan perniagaan berasakan pertanian.

2.0 KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN

Sayur-sayuran tempatan

Buah-buahan tempatan


Setiap negara mempunyai industri pertanian mereka sendiri mengikut cuaca atau iklim dan jenis tanah serta kesuburannya.  Malaysia mengalami cuaca khatulistiwa yang membolehkan pelbagai jenis tanaman ditanam seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tropika.  Pada mulanya pertanian yang dijalankan di Malaysia adalah untuk memenuhi keperluan asas rakyat tempatan.  Bidang pertanian sekarang dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pengimportan bahan makanan dari negara luar.  Berbagai penyelidikan telah dijalankan oleh pelbagai pihak bagi membantu dalam pertumbuhan bidang pertanian.  Sekiranya pelbagai jenis tanaman dapat di tanam di negara kita bersesuaian dengan iklim khatulistiwa akan memberikan pulangan yang besar kepada negara kita.  Ini adalah kerana sektor pertanian mampu menjana pendapatan untuk negara dan memberi impak yang besar kepada rakyat Malaysia.

Bidang pertanian sebenarnya mampu mendatangkan keuntungan yang besar sekiranya diusahakan secara betul. Pertanian telah memainkan peranan  penting dalam meningkatkan ekonomi negara.  Terdapat beberapa kepentingan pertanian seperti sumber pendapatan eksport negara, pengeluar bahan makanan, memenuhi sumber bahan mentah negara, menarik minat pelabur asing, pertanian sebagai Agro-Pertanian serta mewujudkan peluang pekerjaan.


2.1 SUMBER PENDAPATAN EKSPORT NEGARA




Pertanian mempunyai potensi untuk menggalakkan pengaliran masuk wang ke negara kita melalui eksport hasil pertanian ke negara luar. Sekiranya permintaan terhadap hasil pertanian negara meningkat secara berterusan ia akan  memberikan pulangan yang besar sebagai sumber pendapatan negara.  Tanpa mengambil kira komoditi seperti getah dan minyak sawit, sektor pertanian telah menyumbang sebanyak RM20.2 billion atau 4 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK).  Permintaan global untuk produk pertanian yang semakin meningkat telah mewujudkan potensi yang amat besar untuk meningkatkan sumbangan sektor ini kepada PNK negara daan menaikkan taraf pendapatan penduduk luar bandar. (Program Transformasi Ekonomi).


Bidang pertanian amat penting kepada negara bagi menambah sumber pendapatan.  Banyak masalah dan cabaran yang akan dihadapi untuk mencapai impian menjadikan sektor pertanian sebagai penjana utama ekonomi negara. Bagi negara yang tidak mempunyai hasil pertanian akan menghadapi masalah untuk membekalkan makanan kepada rakyat negara mereka sendiri.  Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kos untuk mengimport bahan makanan yang semakin meningkat. Bidang pertanian mestilah dimajukan bagi memenuhi keperluan penduduk serta tidak membebankan kewangan negara.

2.2 PENGELUAR BAHAN MAKANAN


Contoh Kedai Agro Bazaar

Kebaikan bidang pertanian di Malaysia adalah kerana pertanian boleh menjadi pengeluar bahan makanan utama negara.  Negara tidak lagi perlu mengimport bekalan bahan makanan dari negara luar lagi.  Kos mengimport bekalan makanan dari luar negara dapat dikurangkan dan kos tersebut boleh digunakan untuk membangunkan negara. 

Melalui Bajet 2017, kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion sebagai usaha untuk mengurangkan kos barang-barang makanan melalui usaha peningkatan pengeluaran.  Sementara itu, RM140 juta diperuntukkan bagi menambahbaikkan pengagihan barang-barang makanan dengan menaik taraf 150 Agrobazar Rakyat (Dr Zulkiply Omar).

2.3 MEMENUHI SUMBER BAHAN MENTAH NEGARA



Secara tidak langsung bidang pertanian dapat membantu negara memenuhi keperluan makanan dan dapat mengelakkan krisis kekurangan makanan. Keperluan makanan akan semakin meningkat dengan peningkatan bilangan penduduk Malaysia yang dianggarkan seramai 28.6 juta penduduk pada tahun 2010 dan dijangka meningkat sehingga 30.5 juta penduduk menjelang tahun 2020. 

2.4 MENARIK MINAT PELABUR ASING



Bidang pertanian juga dapat memberi keuntungan dan pulangan yang besar kepada pelabur dan pengusaha. Oleh sebab itu pengusaha perlu menitik beratkan aspek kuantiti dan kualiti menyebabkan harga pasaran hasil yang dijual akan meningkat.  Bagi meningkatkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, maka proses tambah nilai seperti aspek pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran perlu  diberikan keutamaan.

2.5 PERTANIAN SEBAGAI AGRO-PELANCONGAN


Pertanian boleh dijadikan perniagaan apabila konsep agro-pelancongan diterapkan. Agro-pelancongan telah dibangunkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari segi membuat promosi. Konsep pelancongan ini telah berkembang pesat di Malaysia kerana negara kaya dengan keindahan alam semulajadi. Pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan telah disediakan kepada para pelancong. 


Aktiviti yang semakin mendapat sambutan dalam agro-pelancongan adalah lawatan ke dusun buah-buahan dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya. Felda Residence Tekam yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), Jerantut, Pahang adalah salah satu contoh pusat peranginan agro-pelancongan yang sesuai untuk dikunjungi. Selain dari menjadi pusat pelancongan berasas pertanian, Tekam resort juga turut menyediakan pakej lawatan ke ladang buah-buahan seperti nangka, durian, rambutan, manggis, langsat, duku dan jambu mawar. Tetamu dan pelancong yang datang akan diajar tentang teknik pertanian moden yang digunakan di kawasan itu.

2.6 MEWUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN


Bidang pertanian telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan  kepada masyarakat tempatan serta telah menarik minat ramai warga asing untuk turut menceburi bidang perniagaan yang berasaskan pertanian.  Apabila sektor pertanian menjadi sektor pengeluar utama negara, sudah pasti  banyak industri yang melibatkan pertanian memerlukan pekerja yang mahir. 


3.0 POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN

Di Malaysia, bidang pertanian yang diusahakan secara serius dalam sektor perniagaan empunyai potensi dan boleh menguntungkan. Ini dapat dilihat dengan sokongan dan usaha yang dilakukan oleh pengusaha pertanian dalam pengeluaran hasil pertanian mereka seperti kuantiti serta kualiti produk.  Pihak kerajaan juga banyak memberi galakan ke atas pengusaha pertanian bagi meningkatkan potensi pertanian dijadikan perniagaan. Bantuan juga diberikan seperti khidmat nasihat, membantu dalam pembelian jentera berteknologi tinggi dan menggalakkan pengusaha mempraktikkan amalan pertanian yang baik.  Jabatan Pertanian telah diwujudkan bagi membantu pengusaha pertanian di mana jabatan ini membantu pengusaha pertanian dari permulaan sehingga mereka mampu berdikari sehingga mampu mempunyai perniagaan sendiri.  

Mentaliti masyarakat terutamanya golongan belia dan mahasiswa perlu diubah bagi menjadikan pertanian adalah satu perniagaan.  Anggapan mereka bahawa pertanian tidak mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda harus diubah. Sekiranya tidak diubah ianya akan memberi kesan yang negatif kepada mereka yang baru hendak menceburi dalam sektor pertanian.


4.0 CABARAN/HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN

                                      

Produktiviti dalam sektor pertanian masih rendah dan statistik menunjukkan majoriti petani negara ini berusia 45 tahun ke atas.  Kekurangan tenaga buruh dan harga komoditi pertanian yang rendah serta tidak stabil merupakan antara faktor penguncupan sektor pertanian, terutamanya dalam kalangan pekebun kecil (Nurulhuda et. al., 2009).  Dalam apa-apa bidang yang kita ceburi sudah pasti ada cabaran atau halangan.  Ini termasuklah perniagaan yang berasaskan pertanian juga tidak terkecuali. Antara cabaran dan halangan yang terdapat apabila sesuatu perniagaan berorentasikan pertanian adalah kerana modal permulaan, saiz tanah terlalu kecil, kekurangan peralatan dan kos teknologi, golongan muda kurang berminat, kos pengeluaran yang meningkat dan bencana alam.

4.1 MODAL PERMULAAN

Masalah dan penghalang utama kepada kejayaan sesebuah perniagaan yang berorentasikan pertanian adalah modal. Modal merupakan aspek penting dalam semua perkara.  Modal amat diperlukan untuk menanggung segala kos-kos pengeluaran sesuatu produk.  Bukan mudah bagi seseorang individu yang mempunyai modal sendiri untuk mendapatkan kembali modal yang telah digunakan itu ataupun yang dipanggil modal pusingan.  Tidak semestinya modal yang dilaburkan akan memperolehi pulangan yang sama atau lebih, tetapi mungkin tidak memperolehi apa-apa pulangan langsung.  Oleh itu ramai usahawan pertanian yang mahu menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian tidak mahu mengeluarkan modal sendiri dan mereka sanggup membuat pinjaman samada dari agensi yang sah atau tidak sah.

4.2 SAIZ TANAH TERLALU KECIL

Untuk mengusahakan pertanian secara kormesial atau ladang, satu kawasan yang luas dan subur diperlukan. Tanaman yang berskala besar memerlukan  kawasan dan ruang yang luas untuk kegunaan pertanian sahaja.  Bagi usahawan tani masalah utama yang mereka hadapi adalah mempunyai saiz tanah yang terlalu kecil. Untuk menjalankan perniagaan berasaskan pertanian, saiz tanah yang luas diperlukan untuk mengoptimumkan hasil pengeluaran. Jika saiz tanah terlalu kecil sudah pasti kuantiti pengeluaran adalah kurang dan susah untuk dikomersialkan produk tersebut.  Kawasan tanah subur untuk pertanian juga semakin berkurangan disebabkan oleh arus pembangunan semasa.  Akibat daripada kekurangan kawasan untuk pertanian menyebabkan kejatuhan perolehan dari hasil pertanian.


4.3 KEKURANGAN PERALATAN DAN KOS TEKNOLOGI

Para petani tidak mempunyai pengetahuan tentang genetik dan fisiologi tumbuhan serta penyelidikan yang sainstifik bagi memperbaiki teknologi penanaman dan pemprosesan hasil tanaman mereka dengan cara yang betul. Kos jentera pertanian yang mahal serta kemudahan peralatan yang terhad menyebabkan hasil pertanian tidak dapat berkembang dan hanya berada dalam lingkungan skala kecil.  Pada tahun 2014, LPP telah memperuntukan sebanyak RM1.1 juta untuk Program Menambah Hayat Jentera.   Di antara jentera yang telah dibaiki adalah 14 unit traktor 4 roda, 1 unit traktor separa rantai (halftrack tracktor), 19 unit jentuai jenis 1545, 5 unit lori (pengangkutan) dan 23 unit rotovator.


Biasanya para petani akan mengalami kerugian kerana hasil tanaman mereka tidak dapat bertahan lama.  Hasil tanaman mereka juga berkurangan akibat terkena serangan serangga perosak dan kekurangan baja kimia yang mesra alam. Pertanian perlu menggunakan baja kompos dan jentera moden yang sesuai bagi meningkatkan lagi hasil pengeluaran.  Dengan menggunakan baja kimia sahaja akan menyebabkan tanah hilang kesuburannya.

4.4 GOLONGAN MUDA KURANG BERMINAT

Masalah utama yang menjadi cabaran ialah golongan muda kurang berminat mendalami bidang perniagaan yang berasaskan pertanian ini.  Mereka berpendapat bahawa perniagaan yang berasaskan pertanian hanya sesuai dijalankan oleh golongan yang berusia.  Golongan muda lebih suka menghabiskan masa dengan bekerja makan gaji.  Hakikat sebenarnya penggunaan tenaga  kerja golongan yang berusia dan muda amat jauh berbeza. Tahap guna tenaga dan kepantasan bekerja golongan berusia adalah terhad dan daya kualiti juga semakin menurun.

Kesukaran golongan belia untuk mendaftarkan perniagaan mereka  juga merupakan satu halangan bagi perniagaan yang berasaskan pertanian di Malaysia. Bagi membuat pendaftaran perniagaan, pihak pendaftaran syarikat atau perniagaan meminta golongan belia untuk memberi nama serta alamat premis perniagaan mereka. Ini menjadi masalah bagi golongan belia yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dalam perniagaan berorentasikan pertanian. 


4.5 KOS PENGELUARAN YANG MENINGKAT

                       
Pada masa sekarang kos pengeluaran yang semakin meningkat seperti upah buruh, kos jentera yang tinggi serta hasil pulangan yang merosot. Dengan berlakunya peningkatan kos pengeluaran banyak memberi impak kepada perniagaan tani. Peningkatan kos pengeluaraan akan pasti memberi tekanan kepada para usahawan pertanian bagi mengekalkan kualiti produk seperti yang dikehendaki.

4.6 BENCANA ALAM

Selain daripada faktor cuaca, bencana alam juga akan membawa kepada masalah kekurangan barang makanan.  Apabila terjadinya bencana alam, ladang-ladang pertanian akan musnah dan ada yang terpaksa menggunakan tanah-tanah pertanian ini menjadi kawasan penempatan penduduk.   Ini akan menyebabkan keluasan tanah-tanah pertanian menjadi semakin kecil. 

5.0 SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN

Pihak kerajaan sentiasa memberi perhatian dan tunjuk ajar kepada peniaga yang menjalankan perniagaan berasaskan pertanian.  Antara usaha kerajaan yang dapat dilihat dalam membantu mereka yang menjalankan perniagaan berasaskan pertanian adalah dengan mewujudkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Pihak kerajaan telah menyalurkan peruntukan bagi membantu golongan berkenaan.  Pelbagai subsidi dan insentif yang diberikan kepada pesawah padi, pekebun kecil getah dan nelayan dalam bajet 2017 yang baru dibentangkan.  Ini adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan mereka yang bukan sahaja rendah bahkan tidak menentu dipengaruhi iklim dan cuaca (Dr. Zulkiply Omar, 2015).


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mewujudkan agensi yang menjadi penggerak kepada usaha kerajaan membantu golongan pengusaha pertanian di peringkat lebih bawah. Agensi-agensi yang diwujudkan adalah seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).  

5.1 LEMBAGA PEMASARAN PERTANIAN PERSEKUTUAN (FAMA)




FAMA merupakan sebuah agensi pemasaran yang bertanggungjawab dalam pemasaran produk agromakanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta produk-produk industri asas tani bagi memacu sektor pemasaran domestik dan antarabangsa.  FAMA berperanan  dalam pemasaran hasil produk agromakanan dan meningkatkan pendapatan pengeluar serta memastikan produk pertanian dan industri asas tani tersedia ada dan boleh diperolehi pada harga yang mampu dibayar.  Agensi ini sedang menggiatkan usaha-usaha meningkatkan kecekapan di sepanjang rantaian pemasaran dengan memberi fokus kepada memperkukuhkan bekalan melalui program ladang kontrak, meluaskan akses pasaran dan meningkatkan promosi pasaran tempatan dan eksport. 

5.2 LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG (LPP)



Penubuhan LPP ini adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meninggikan hasil dan pendapatan dan membaiki cara hidup ahli-ahli serta mewujudkan masyarakat peladang progresif, berdikari, makmur dan bersepadu.  Selain itu, agensi ini juga bertindak menganjurkan ekspo dan pameran dimana ianya akan disertai oleh pengusaha kecil dalam bidang pertanian. Ekspo yang dijalankan ini membolehkan pengusaha pertanian dapat memasarkan hasil tanaman mereka samada biji benih sehingga ke hasil keluaran yang diperolehi secara terus kepada pembeli tanpa melalui orang tengah. Selain dari memasarkan hasil tanaman, ekspo dan pameran yang disertai mampu memperkenalkan mereka kepada dunia perniagaan berorentasikan pertanian.


6.0 KESIMPULAN


Perniagaan berasaskan pertanian di Malaysia boleh mendatangkan keuntungan yang besar jika diusahakan dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Masih ramai lagi golongan muda yang tidak  menyedarinya dan menganggap perniagaan berasaskan pertanian hanya membuang masa dan keuntungan yang diperolehi adalah sedikit atau tidak diperolehi langsung.  Pihak kerajaan dan swasta juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menarik golongan muda menyertainya.



   






7.0 RUJUKAN




Laporan Tahunan Lembaga Pertubuhan Peladang (2014). (atas talian). [http://www.lpp.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=2d17397e-a3e6-4c0b-a754-90ed0149155b&groupId=1046064]
Nurulhuda Che Abdullah & Ramlee Mustapha (2009).  Kajian kes usahawan tani Industri Kecil Sederhana (IKS) Bumiputera di Negeri Terengganu.  Journal Pendidikan Malaysia 34(2).
Portal Rasmi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).  http://www.lpp.gov.my/
Portal Rasmi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).      
        http://www.fama.gov.my/
Program Transformasi Ekonomi (2010).  Peralihan daripada pertanian kepada industri asas tani.  Bab 15, 559.
Ramlee Mustapha & Nurulhuda Che Abdullah (2011).  Amalan pengurusan perniagaan usahawan tani IKS Bumiputera: Satu kajian kes di Negeri Terengganu.  Jurnal Teknologi, 55 (Sains Sosial) Mei 2011: 75-105.
Zulkiply Omar (2015).  Sektor pertanian sebagai enjin pertumbuhan ekonomi.  Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).